Monday, 16 December 2013

Saka: Mak Yong, Wayang Kulit, Main Puteri

Seni Mak Yong, Wayang Kulit dan Main Puteri antara kesenian asli Melayu Pantai Timur terutama negeri Kelantan. Saya tidak ingin berbicara bab hukum agama mengenai halal atau haram. Saya juga tidak ingin berbicara persoalan boleh atau tidak pelajari kesenian ini. Pendapat peribadi saya, seni ini harus dipelihara agar warisan generasi kita yang seterusnya mengenali jati diri bangsa dan asal usul mereka.

Cuma dalam mempelajari kesenian ini, wajib bagi kita untuk tinggalkan perbuatan khurafat & syirik yang telah sebati seperti pemujaan pentas sebelum memulakan upacara seni. Saya sendiri pernah melihat upacara perasap bangsal sebelum bermain wayang kulit. Jiran yang sakit teruk boleh bangun berdiri dan menari apabila dirawat menggunakan kaedah main puteri.

Tidak dinafikan, jika kita mencampurkan amalan khurafat & syirik semasa melakukan sesuatu, maka akan ada makhluk lain akan turut serta berdamping dengan kita. Bagaimana mungkin seseorang boleh meniru pelbagai suara, gerak tari lenggok gemalai, bahasa purba dahulu kala dan sebagainya. Seseorang boleh naik syeikh bila mendengar tiupan serunai dan gendang. Ada angin bak kata sesetengah orang.

Belajar seni tidak salah. Yang salah & haram ialah mengambil pendamping. Saya pernah merawat beberapa kes berkaitan saka Mak Yong & Main Puteri. Pesakit bukan seorang penggiat seni Mak Yong. Tidak mempunyai tangan yang lentik. Tetapi, semasa sesi rawatan boleh menyanyi lagu Mak Yong mendayu-dayu. Melentik tangan, melembai badan. Apabila disiasat, rupanya terdapat keturunan nenek moyang yang pernah bermain Mak Yong. Memakai sesuatu untuk kekal cantik jelita. Dek kerana kesalahan atau kesilapan yang pernah dilakukan oleh nenek moyang mereka, akhirnya cucu cicit yang terpaksa menanggung akibatnya.

Nasihat saya, jauhilah perbuatan khurafat & syirik. Dekatkan diri dengan Allah s.w.t dengan mengikuti teladan & jalan Baginda Rasulullah s.a.w.

1 comment: