Thursday 23 October 2014

Angin Dalam Badan. Adakah Gangguan?

Seperti diketahui umum, jin ialah makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bangsa mereka juga memiliki kelebihan untuk masuk dan berjalan dalam saluran darah di dalam diri anak Adam. Bangsa jin juga boleh mengecil dan menduduki suatu tempat yang kecil secara beramai-ramai.

Antara tanda bahawa badan seseorang itu dihuni oleh jin ialah badan yang sentiasa berangin. Jenuh makan ubat atau mengurut tetapi angin masih banyak dan tidak hilang. Maka, anda boleh memilih untuk membuat pemeriksaan dengan mana-mana perawat Islam.

Biasanya, angin dalam badan yang berkaitan dengan jin akan menyebabkan si pesakit sentiasa sedawa dari kawasan dada dan bukan dari kawasan perut. Sedawa tersebut hanya mengandungi angin semata-mata dan tidak berbau. Sedawa yang berterusan ini tidak melegakan dada. Dada merasa berat dan rimas.

Sedawa akan bertambah kuat apabila seseorang itu solat, mengaji al-quran atau mendengar bacaan al-quran. Selain itu, si pesakit itu juga akan berasa mengantuk setiap kali membuat amal ibadat. Tanda yang lain ialah merasa suatu suhu atau hawa yang hangat dan panas di atas belakang bermula dari pinggang hingga ke bahagian tengkuk ketika beribadat.

Jika anda ada mengalami situasi begini, mungkin badan anda dihuni oleh jin yang anda tidak sedari atau ketahui. Jumpa mana-mana perawat Islam untuk semakan dan pengesahan lanjut.