Thursday, 27 December 2012

Hari Krismas & Tahun Baru 2013

Tempoh hari ramai yang kecoh bab hari nak kiamat. Saya pun rasa kecut juga. Tapi, alhamdulillah. Tiada apa-apa yang berlaku. Kalau nak cite bab kiamat ni memang panjang. Bagi saya, bukan bila nak kiamat tu yang penting tapi apa persediaan kita untuk menghadapi hari kiamat.

Mode: Bertapa untuk meningkatkan amalan.

Wednesday, 14 November 2012

Muharram: Puasa Sunat

Disunatkan berpuasa dari hari terakhir Zulhijjah sehingga 11 Muharram. Banyak kelebihan bagi mereka yang dapat melakukannya. Jika tidak mampu, maka berusahalah untuk berpuasa pada 9 & 10 Muharram. Jangan asyik ingat nak makan bubur asyura sahaja tanpa lupa untuk berpuasa.

Muharram: Doa Akhir Tahun & Doa Awal Tahun

Salam Maal Hijrah,

Kepada muslimin & muslimat sekalian, saya ucapkan salam maal hijrah. Semoga tahun baru ini akan menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Mungkin ada azam baru atau azam lama yang diperbaharui semula. Walau apapun, saya doakan semoga semua dipanjangkan umur untuk melangkah ke tahun baru.

Cuma ingatan bersama, jangan lupa untuk baca doa akhir tahun selepas solat asar atau sebelum masuk waktu maghrib dan baca doa awal tahun selepas masuk waktu maghrib.

Wassalam.

Friday, 9 November 2012

Pertahanan: Amalan Pertahanan Diri Peringkat Asas

Pertahanan dan perlindungan diri daripada serangan atau kemudharatan hendaklah diambil berat. Kerana kita tidak tahu bila kita akan diuji. Bak kata orang tua-tua, 'Malang tidak berbau'. Umpama kentut yang tiada bunyi tapi hanya hadir dengan bau. Bila sudah berbau, maka telah terlambat kerana kita tidak sempat elak. Sikit sebanyak bau kentut pasti telah menerobos rongga hidung.

Pertahanan diri hendaklah dititik beratkan oleh setiap individu lelaki mahupun perempuan. Sering kali kita dengar rintihan para wanita yang menggunakan alasan datang bulan untuk mengelak daripada mengamalkan amalan pertahanan diri. Sebenarnya, wanita yang datang bulan amat terdedah pada serangan. Amalan zikir dan doa yang biasa diamalkan ketika bersih, boleh juga diamalkan ketika datang bulan dengan niat bacaan tersebut dilakukan sebagai zikir. Namun haruslah diingat bahawa amalan tersebut hendaklah dilakukan terlebih dahulu semasa dalam keadaan bersih barulah boleh diteruskan amalannya ketika datang bulan.

Amalan asas pertahanan diri setiap kali selesai solat. Amalkan untuk membaca:

Surah Al-Fatihah 1 x
Ayatul Kursi 1 x (9 wakaf)
Surah Al-Ikhlas 3 x
Surah Al-Falaq 1 x
Surah An-Nas 1 x
Zikir Subhanallah 33 x
Zikir Alhamdulillah 33 x
Zikir Allahu Akbar 33 x

Insya Allah, jika diamalkan secara istiqamah maka kita akan dipelihara oleh Allah dari segala malapetaka. namun, jika Allah telah menqada' sesuatu keburukan pada kita, maka yakinlah pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Amalan ini hendaklah dijazamkan sekurang-kurang 40 hari tanpa tertinggal. Jika tertinggal walaupun satu waktu, maka harus mula daripada awal. Hari terbaik untuk mulakan amalan ialah subuh hari Ahad.

Wallahu'alam.


Ziarah: Ziarah Orang Sakit

Kadang-kadang kita terima berita sama ada daripada keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai yang memaklumkan perkhabaran tentang seseorang jatuh sakit dan terlantar di hospital. Kita selaku insan kerdil hanya mampu mengucapkan ungkapan sabar dan menziarahi si pesakit.

Amalan menziarahi pesakit ini amatlah baik dan dituntut oleh Islam. Namun begitu, yang sedihnya ramai yang datang menziarahi pesakit tetapi tidak menunaikan tuntutan hak pesakit. Hak pesakit ialah mendapatkan doa daripada si penziarah.

Rata-rata kita lihat si penziarah akan bertanyakan hal ehwal tentang penyakit pesakit. Bila kena, macam mana berlaku, doktor kata apa. Tapi, amat jarang yang mendekati pesakit dan memberi kata-kata rangsangan serta berdoa.

Boleh katakan hampir setiap katil orang Islam terdapat surah Yasin di sisi pesakit. Tetapi, buku surah Yasin sekadar menjadi hiasan. Tiada yang mahu capai dan bacakan kepada si pesakit. Kalau ada pun, hanya segelintir sahaja. Yang lagi menyedihkan, darah daging sendiri pun tidak mahu atau malas untuk membacakannya.

Apabila kita menziarahi pesakit, maka berilah bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung olehnya. Antara ikhtiar yang boleh kita lakukan ialah ambil surah Yasin dan bacakan kepada si pesakit. Pegang kepala atau ubun-ubun pesakit dan bacakan surah Yasin di telinganya. Insya Allah, kita akan dapat melihat tindak balas dan reaksi pesakit. Semoga Allah menyembuhkan dan meringankan beban si pesakit dengan berkat bacaan surah Yasin yang kita bacakan. Amin ya rabbal alamin.

Thursday, 8 November 2012

Serangan: Semua Orang Terdedah

Walau siapa pun anda, anda pasti terdedah pada serangan jin dan ahli sihir lebih-lebih lagi jika anda seorang perawat Islam. Sayugia, diberi perhatian jika terdapat tanda-tanda serangan dan membuat benteng diri dengan segera apabila tanda-tanda serangan dikenalpasti. Serangan boleh datang sama ada dalam keadaan kita sedar atau tidak sama ada kita bersedia atau tidak.

Oleh itu, pastikan diri, keluarga dan kediaman sentiasa dibenteng dengan amalan yang secukupnya bagi menghalang serangan yang dilakukan tersebut berjaya.

p/s: Mendapat alamat serangan dalam mimpi termasuk yang cuba menceroboh kediaman. Gelas minuman juga pernah pecah sewaktu ingin minum.

Pertahanan: Kit Keselamatan Di Rumah

Kebelakangan ini kita sering mendengar pelbagai kisah serangan / gangguan jin dan sihir terhadap manusia. Terdapat gangguan bermotif dan tidak kurang juga gangguan tidak bermotif. Walaupun dunia semakin moden dengan arus pembangunan yang bertali arus, namun sama ada sedar atau tidak masih ada lagi antara kita yang masih mendapatkan khidmat daripada jin dan tukang sihir.

Serangan daripada jin mahupun tukang sihir tidak mengenal siapa. Semua orang terdedah pada serangan termasuk perawat itu sendiri. Maka, seharusnya perawat dan ahli keluarga mereka selalu berwaspada dan bersedia pada setiap masa pada serangan mengejut dan tidak diingini.

Oleh yang demikian, disarankan agar kita sentiasa menyimpan kit keselamatan sama ada di rumah atau dibawa bersama-sama ke mana-mana. Seperti mana kita diajar untuk menyediakan kit keselamatan ubat-ubatan atau kit keselamatan kebakakaran untuk memberi perlindungan lapisan pertama, maka dalam rawatan Islam juga kita seharusnya memiliki kit keselamatan tersebut.

Antara kandungan kit keselamatan yang boleh disediakan ialah:

1. Air minuman yang telah didoakan
2. Air mandian yang telah didoakan
3. Minyak wangi yang telah didoakan
4. Limau purut / limau nipis yang telah didoakan
5. Garam kasar yang telah didoakan
6. Lada hitam yang telah didoakan

Barang tersebut hendaklah sentiasa ada supaya mudah bagi kita untuk membuat pertahanan asas sekiranya terdapat gangguan sebelum pergi berjumpa atau menerima rawatan daripada mana-mana perawat Islam.

p/s: Kami menawarkan khidmat bagi menyediakan kit keselamatan di atas. Barangan hendaklah disediakan oleh anda. Emelkan kepada fiqrullah786@gmail.com. Tiada caj dikenakan. Sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke tabung yang disediakan.

Tuesday, 6 November 2012

Amalan: Jazamkan Amalan

Dalam setiap amalan yang dilakukan perlu pada istiqamah dan jazamkan amalan tersebut. Jazamkan amalan bermaksud menjadikan amalan tersebut sebati dalam diri kita. Bila dah sebati, maka mudah dan ringan untuk kita amalkan.

Kita biasa terdengar atau berjumpa orang yang berjalan, lalu tersepak batu. Dengar dan perhatikan apa yang terkeluar dari mulut si pelaku. Perkataan yang terkeluar itu ialah perkataan yang telah jazam @ sebati dalam diri si pelaku. Jika perkataan yang baik seperti zikrullah yang terkeluar, maka Alhamdulillah. Jika perkataan sebaliknya yang keluar, seperti mencarut dan memaki hamun, maka harus waspada.

Mengapa? Kejutan yang sedikit pun sudah melatah sebegitu, bagaimana jika datangnya kejutan yang besar yakni maut. Semoga kita dipelihara sepanjang masa oleh Allah hingga saat menghembuskan nafas yang terakhir. Amin ya rabbal alamin.

Ziarah: Ziarah Guru

Alhamdulillah, kesempatan bercuti Aidil Adha tempoh hari sempat digunakan untuk menziarahi guru dan berbincang sambil mendalami ilmu perubatan Islam yang dipelajari. Ilmu yang ada harus diamal dan dipraktik sambil dipantau oleh guru. Istilah perubatan moden. 'housemanship'.

Dalam perubatan Islam tidak wujud istilah 'housemanship'. Tetapi, bagi memantapkan amalan, inisiatif ini perlu ada sebelum pelatih benar-benar bersedia untuk berjuang.

Wednesday, 24 October 2012

Khidmat: Rawatan Islam (Jin, Sihir, Gangguan dll) di Kedah

Bagi anda yang sedang mencari rawatan Islam alternatif kerana masalah gangguan akibat sihir, jin dan sebagainya. Telah banyak ikhtiar dilakukan tapi masih belum diizinkan Allah untuk disembuhkan. Jangan berputus asa. Teruskan berusaha dan berdoa. Sesungguhnya penyakit itu datangnya daripada Allah dan Allah jualah yang Maha Menyembuhkan. Bermohonlah pada Allah melalui kaedah yang betul yang berlandaskan Islam dan menepati syara'.

Buat mereka yang berada di utara semenanjung, anda boleh hubungi atau datang berjumpa kami terus. Bagi yang berada di tempat lain, insya Allah pertemuan juga boleh diaturkan jika mahu kami ke tempat anda.

Hubungi kami:

Hj. Nasruddin bin Hassan
019-4300756

Taman Ria,
Sungai Petani,
Kedah.

Puasa: Puasa Sunat Tarwiyyah & Arafah

Alhamdulillah, bersyukur kerana kita masih dipinjamkan nyawa dan masa untuk berada di bumi Allah s.w.t ini. Bukannya untuk berbangga tapi sekadar untuk mencari ruang dan peluang untuk menambah bekalan buat musafir diri bagi suatu perjalanan yang panjang selepas dijemput oleh Allah, Tuhan Rabbul Jalil.

Hari ini bersamaan 8 Zulhijjah. Buat mereka yang berkesempatan menjadi tetamu Allah, semoga dilimpahi rahmat dan kurnia daripada Allah Taala jua agar dimudahkan segala urusan haji mereka. Buat kita yang berada di tanah air, di kesempatan ini marilah sama-sama kita menunaikan ibadat puasa sunat tarwiyyah dan arafah.

Ganjaran bagi mereka yang berpuasa sunat pada hari arafah akan dihapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan kita bermohon pada Allah, semoga doa kita semasa tempoh berpuasa ini dikumpulkan bersama-sama mereka yang sedang mengerjakan haji dan berwukuf di arafah. Sesungguhnya, berdoa di arafah termasuk dalam tempat yang makbul doa. Semoga doa kita juga turut dimakbulkan dengan berkat amalan yang sedikit ini.

Amin ya rabbal alamin.

Monday, 22 October 2012

Simptom: Gangguan Tanpa Sedar

Kadang-kadang kita tidak mengetahui bahawa gangguan fizikal yang dialami ada kaitan dengan gangguan luaran yang lain. Sebaiknya, kita dapatkan pandangan / nasihat pakar perubatan moden terlebih dahulu. Jika ikhtiar moden tidak berhasil / tidak memberi sebarang kesan kerana punca penyakit tidak dapat dikesan, maka alternatif rawatan perlu dicari.

Gangguan sering kali datang seperti sukar tidur malam, kerap terjaga di waktu malam, merasa takut, berdebar-debar, sakit di bahagian sendi, sakit di bahagian belakang dan sebagainya. Apabila pemeriksaan perubatan moden dijalankan, anda disahkan sihat. Maka, pada ketika itu rawatan alternatif perlu diberi perhatian. Cari dan berjumpalah dengan perawat Islam yang diyakini. Minta pandangan & nasihat. Insya Allah, penyakit yang dialami dapat diikhtiarkan.

Rawatan: Membersih & Memagar Rumah Bertanah

Berbeza dengan kaedah rawatan bagi membersih & memagar rumah apartment, rumah bertanah sama ada lot banglo / teres memerlukan pembersihan luar & dalam. Pembersihan akan dilakukan dari dalam bagi mengeluarkan 'penghuni' yang tidak diundang. Kemudian, membersihkan kawasan perkarangan luar & akhirnya memagar kawasan rumah.

Insya Allah, rumah yang dibersihkan & dipagar tersebut akan dilindungi Allah dari sebarang gangguan dan perkara yang tidak diingini. Namun perlu diberi perhatian, pagar tersebut mungkin bocor & memerlukan penyelenggaraan sepertimana infrasturktur fizikal yang lain dengan amal ibadat yang dilakukan oleh ahli rumah tersebut.

Thursday, 18 October 2012

Rawatan: Mengurangkan Sentuhan Antara Perawat & Pesakit

Dalam rawatan Islam, etika perubatan dan Islam perlu dititik beratkan. Perawat seharusnya menjaga tatasusila dan kelakuan menurut Islam dalam kaedah rawatan yang dilakukan. Pelbagai kaedah rawatan yang digunakan seperti sentuhan tangan, sentuhan dengan alatan perantaraan, sentuhan batin, sentuhan jarak jauh dan sebagainya. Walau apa pun kaedah yang digunakan, pastikan kaedah itu menepati hukum syara' dan pesakit dirawat dengan keizinan diri pesakit sendiri serta mahramnya. Selain itu, pesakit juga harus ditemani oleh mahramnya sepanjang tempoh rawatan.

Isu aurat juga memainkan peranan penting. Aurat perawat dan pesakit juga hendaklah sentiasa dijaga sepanjang tempoh rawatan. Sentiasa pastikan terdapat alas kain antara perawat dan pesakit. Jika perlu untuk merawat kawasan-kawasan sulit atau yang boleh menimbulkan fitnah, gunakan alas yang lebih tebal dan tangan perawat di tempat terbuka yang boleh dilihat oleh umum. Selain itu, perawat juga boleh menggunakan tangan pesakit sendiri atau mahramnya bagi tujuan untuk merawat kawasan-kawasan tertentu.

Insya Allah, selagi mana hati kita ikhlas dan berserah pada Allah yang Maha Kuasa yang Maha Menyembuhkan tiada yang mustahil bagi Allah. Sakit itu datangnya dari Allah dan Allah Taala jualah yang Maha Menyembuhkan. Allahu akhbar.

Rawatan: Membersih & Memagar Rumah Apartment

Satu kaedah untuk membersih dan memagar rumah apartment telah berjaya dihasilkan dengan izin Allah s.w.t. Kaedah ini bukanlah yang terbaik. Kaedah ini adalah kesinambungan kaedah yang biasa diamalkan oleh perawat-perawat Islam lain.

Kaedah ini mengguna pakai campuran air & attar kasturi yang telah dibacakan ayat-ayat ruqyah & yasin. Campuran air itu akan direnjis dalam setiap kawasan dalam rumah tersebut sambil dibacakan ayatul kursi secara berterusan.

Selain membersih dan memagar rumah, campuran air ini juga menghasilkan bau haruman yang berkekalan dalam tempoh 2-3 hari. Membersih dan memagar rumah boleh dijadikan aktiviti harian ataupun mingguan bagi menguatkan benteng pertahanan untuk mengatasi serangan sihir atau gangguan jin.

Sesungguhnya kita sebagai makhluk yang lemah hanyalah berusaha. Hakikatnya, Allah s.w.t jua tempat berserah dan mengadu. Semoga Allah s.w.t memberkati dan melimpahkan rahmatnya dalam kehidupan kita sehari-hari. Amin ya rabbal alamin.

Tuesday, 16 October 2012

Puasa: Puasa Sunat Zulhijjah

Insya Allah, jika kita dipanjangkan umur lagi maka dapatlah kita bertemu dengan Aidil Adha iaitu merupakan hari raya bagi umat Islam selepas Aidil Fitri. Bagi yang akan menunaikan fardhu haji, kami doakan semoga anda semua berjaya melakukan haji dengan sempurna syarat dan rukunnya serta memperoleh haji yang mabrur.

Bagi yang belum diberi kesempatan untuk menunaikan haji, jangan bersedih. Marilah sama-sam kita berdoa semoga kita juga akan dijemput menjadi tetamu Allah di lain masa. Bagi yang belum membuka akaun Tabung Haji, boleh la mula menabung. Hanya RM1,300.00 sahaja yang diperlukan untuk pendaftaran haji.

Semoga dengan kita membuka akaun tabung haji, telah ada niat dalam hati untuk menunaikan haji. Jika tidak kesampaian dan nyawa dijemput sebelum itu, sekurang-kurangnya kita telah menanam niat dan azam.

Bagi yang berada di tanah air, kita disunatkan untuk untuk berpuasa bagi 9 hari pertama Zulhijjah. Sesungguhnya fadhilatnya amatlah besar. Jika tidak dapat pun, cubalah untuk berpuasa pada tanggal 8 dan 9 Zulhijjah. Bulan Zulhijjah termasuk dalam empat bulan haram dalam Islam. Semoga doa kita sepanjang berpuasa sunat ini akan disatukan bersama doa para penunai haji pada hari Arafah sewaktu mereka wukuf di sana.

Monday, 15 October 2012

Khidmat: Ruqyah Syar'iyah & Yasin

Ruqyah dan Yasin antara salah satu usaha dalam rawatan Islam. Hakikat yang mendatangkan dan menyembuhkan penyakit 100% daripada Allah s.w.t. Kita selaku makhluk tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah Taala jua.

Jika ada yang ingin memerlukan khidmat Ruqyah & Yasin. Kami boleh tolong bacakan pada air, garam kasar, lada hitam, daun bidara dan attar kasturi sebagai usaha dan ikhtiar rawatan. Semoga Allah menyembuhkan segala penyakit zahir & batin pada diri kita semua. Amin ya rabbal alamin.

Rawatan: Gangguan Berkaitan Saka Yang Memantau Dari Jauh

Amat letih melayan karenah saka seperti ini. Selesai rawatan, pesakit jadi baik. Kemudian, jadi lagi. Sentiasa memerlukan rawatan susulan. Mudah-mudahan diberi petunjuk oleh Allah untuk menyelesaikan masalah ini. Amin ya rabbal alamin.

Rawatan: Bersihkan Rumah & Pagar

Alhamdulillah. Sabtu lepas selesai aktiviti membersih & memagar kawasan rumah. Aktiviti berjalan lancar. Hanya sedikit gangguan yang diterima. 'Penghuni' melanggar badan semasa aktiviti dilakukan. Syukur dan sujud pada Allah yang Maha Esa.

Friday, 12 October 2012

Jumaat: Bacaan Surah Yasin Malam Jumaat

Ramai antara kita telah menjadikan amalan mingguan dengan membaca Yasin pada malam Jumaat. Adakah perbuatan ini salah? Jawapannya, tidak. Baguslah jika kita memperuntukkan masa sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk membaca surah Yasin. Lebih baik baca seminggu sekali daripada langsung tak baca.

Ada yang berkata amalan ini bidaah. Namun begitu, saya berpegang amalan yang disarankan oleh ulama' nusantara pasti ada hikmahnya. Fenomena sekarang, semakin kurang surau-surau yang mengadakan majlis bacaan Yasin malam Jumaat. Majlis bacaan Yasin dan Tahlil digantikan dengan Majlis Ilmu atau lain-lain program. Apa yang membimbangkan saya, dikhuatiri suatu masa nanti golongan generasi pewaris kita langsung tidak akan membaca Surah yasin sedangkan membaca Surah Yasin itu amat banyak hikmahnya.

Jumaat: Selawat Ummi


Pada hari Jumaat disarankan untuk memperbanyakkan selawat ummi sekurang-kurang 80 x. Insya Allah, akan diampunkan dosa si pembaca selama 80 tahun.

Wednesday, 10 October 2012

Amalan: Istiqamah

Antara perkara yang amat sukar dan berat bagi seseorang hamba untuk melakukan ibadah ialah istiqamah. Iaitu mengekali amalan tersebut sejak pertama kali dilakukan seterusnya kekal hingga ke akhir hayat. Istiqamah dalam amalan antara mujahaddah yang amat menuntut kesungguhan dan keinginan yang tinggi.

Alangkah bahagia bagi mereka yang dikurniakan sifat istiqamah dalam amalan. Amalan yang istiqamah itu walaupun sedikit lebih dipandang Allah s.w.t berbanding amalan yang banyak tetapi hanya buat sekali-sekala. Bukan bermaksud amalan yang banyak itu merugikan tetapi amalan yang istiqamah itu akan menghadirkan sesuatu keajaiaban pada diri pengamal.

Semoga kita diberi kekuatan untuk istiqamah dalam amalan dan ibadag seharian kita sehingga akhir hayat. Amin ya rabbal alamin.

Muqaddimah: Taa'ruf

Saya menggunakan nama pena Muhammad Abdullah bersempena memperingati jasa dan bakti Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan zaman Islam silam berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Blog ini dibuat bertujuan untuk berkongsi riwayat perjalanan hidup saya untuk tatapan bersama. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Hidup ialah satu wayang perjalanan seorang Hamba yang musafir menuju Alam Akhirat yang kekal untuk bertemu Allah Al-Khaliq yang kekal lagi abadi.

Semoga perkenalan ini diberkati Allah s.w.t jua. Amin ya rabbal alamin.