Friday, 9 November 2012

Ziarah: Ziarah Orang Sakit

Kadang-kadang kita terima berita sama ada daripada keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai yang memaklumkan perkhabaran tentang seseorang jatuh sakit dan terlantar di hospital. Kita selaku insan kerdil hanya mampu mengucapkan ungkapan sabar dan menziarahi si pesakit.

Amalan menziarahi pesakit ini amatlah baik dan dituntut oleh Islam. Namun begitu, yang sedihnya ramai yang datang menziarahi pesakit tetapi tidak menunaikan tuntutan hak pesakit. Hak pesakit ialah mendapatkan doa daripada si penziarah.

Rata-rata kita lihat si penziarah akan bertanyakan hal ehwal tentang penyakit pesakit. Bila kena, macam mana berlaku, doktor kata apa. Tapi, amat jarang yang mendekati pesakit dan memberi kata-kata rangsangan serta berdoa.

Boleh katakan hampir setiap katil orang Islam terdapat surah Yasin di sisi pesakit. Tetapi, buku surah Yasin sekadar menjadi hiasan. Tiada yang mahu capai dan bacakan kepada si pesakit. Kalau ada pun, hanya segelintir sahaja. Yang lagi menyedihkan, darah daging sendiri pun tidak mahu atau malas untuk membacakannya.

Apabila kita menziarahi pesakit, maka berilah bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung olehnya. Antara ikhtiar yang boleh kita lakukan ialah ambil surah Yasin dan bacakan kepada si pesakit. Pegang kepala atau ubun-ubun pesakit dan bacakan surah Yasin di telinganya. Insya Allah, kita akan dapat melihat tindak balas dan reaksi pesakit. Semoga Allah menyembuhkan dan meringankan beban si pesakit dengan berkat bacaan surah Yasin yang kita bacakan. Amin ya rabbal alamin.

No comments:

Post a Comment