Harus difahami bahawa, perkara utama ialah perawat perlu mengenal pasti jenis dan punca kes yang dialami. Jika sekadar gangguan biasa seperti histeria, insya Allah pesakit mudah sembuh. Tetapi jika kes berkaitan sihir dan saka, perlu rawatan berulang-ulang dan susulan.
Adalah amat penting untuk pesakit hanya mendapatkan rawatan daripada seorang perawat sahaja pada suatu masa agar tidak berlaku kecelaruan. Memang kita faham bahawa tiada orang yang sanggup derita lama. Semuanya berharap agar cepat sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala. Sebaik-baiknya, seseorang pesakit itu tidak mendapatkan rawatan daripada beberapa perawat dalam suatu masa kerana dibimbangi terdapat kesan sampingan sama seperti kita mengambil ubat moden tanpa mengikut peraturan dan sukatan.
Kes sihir biasanya pesakit akan mengalami permasalahan yang sama berulang-ulang kali kerana tukang sihir akan menghantar dan menambah sihir yang baru jika seseorang pesakit itu didapati berjumpa dengan mana-mana perawat. Tukang sihir sekadar menurut perintah dan melakukan kerja mereka seperti mana yang dikehendaki oleh si pengupah kerana bayaran telah diterima. Selagi mana ada habuan, selagi itu kerja sihir dilakukan.
Bagi kes saka, isu yang timbul ialah dek kerana perjanjian orang terdahulu dan 'mereka' tiada tempat untuk dituju. Sebab itu, kes saka juga mungkin memerlukan rawatan ulangan dan susulan dari semasa ke semasa bagi memastikan gangguan dan saka benar-benar telah pergi dan tidak kembali lagi.
Oleh itu, dinasihatkan agar kita sentiasa berusaha dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah s.w.t. Percaya dan yakinlah bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya apabila kita kembali yakin dan memohon pertolongan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Tidak berlaku sesuatu gangguan itu tanpa keizinan daripada Allah s.w.t. begitu juga tidak akan sembuh & pulih sesuatu penyakit tanpa keizinan Allah s.w.t. jua.
Teruskan berdoa memohon kesembuhan dan perlindungan daripada Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment