Wednesday, 14 November 2012

Muharram: Puasa Sunat

Disunatkan berpuasa dari hari terakhir Zulhijjah sehingga 11 Muharram. Banyak kelebihan bagi mereka yang dapat melakukannya. Jika tidak mampu, maka berusahalah untuk berpuasa pada 9 & 10 Muharram. Jangan asyik ingat nak makan bubur asyura sahaja tanpa lupa untuk berpuasa.

Muharram: Doa Akhir Tahun & Doa Awal Tahun

Salam Maal Hijrah,

Kepada muslimin & muslimat sekalian, saya ucapkan salam maal hijrah. Semoga tahun baru ini akan menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Mungkin ada azam baru atau azam lama yang diperbaharui semula. Walau apapun, saya doakan semoga semua dipanjangkan umur untuk melangkah ke tahun baru.

Cuma ingatan bersama, jangan lupa untuk baca doa akhir tahun selepas solat asar atau sebelum masuk waktu maghrib dan baca doa awal tahun selepas masuk waktu maghrib.

Wassalam.

Friday, 9 November 2012

Pertahanan: Amalan Pertahanan Diri Peringkat Asas

Pertahanan dan perlindungan diri daripada serangan atau kemudharatan hendaklah diambil berat. Kerana kita tidak tahu bila kita akan diuji. Bak kata orang tua-tua, 'Malang tidak berbau'. Umpama kentut yang tiada bunyi tapi hanya hadir dengan bau. Bila sudah berbau, maka telah terlambat kerana kita tidak sempat elak. Sikit sebanyak bau kentut pasti telah menerobos rongga hidung.

Pertahanan diri hendaklah dititik beratkan oleh setiap individu lelaki mahupun perempuan. Sering kali kita dengar rintihan para wanita yang menggunakan alasan datang bulan untuk mengelak daripada mengamalkan amalan pertahanan diri. Sebenarnya, wanita yang datang bulan amat terdedah pada serangan. Amalan zikir dan doa yang biasa diamalkan ketika bersih, boleh juga diamalkan ketika datang bulan dengan niat bacaan tersebut dilakukan sebagai zikir. Namun haruslah diingat bahawa amalan tersebut hendaklah dilakukan terlebih dahulu semasa dalam keadaan bersih barulah boleh diteruskan amalannya ketika datang bulan.

Amalan asas pertahanan diri setiap kali selesai solat. Amalkan untuk membaca:

Surah Al-Fatihah 1 x
Ayatul Kursi 1 x (9 wakaf)
Surah Al-Ikhlas 3 x
Surah Al-Falaq 1 x
Surah An-Nas 1 x
Zikir Subhanallah 33 x
Zikir Alhamdulillah 33 x
Zikir Allahu Akbar 33 x

Insya Allah, jika diamalkan secara istiqamah maka kita akan dipelihara oleh Allah dari segala malapetaka. namun, jika Allah telah menqada' sesuatu keburukan pada kita, maka yakinlah pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Amalan ini hendaklah dijazamkan sekurang-kurang 40 hari tanpa tertinggal. Jika tertinggal walaupun satu waktu, maka harus mula daripada awal. Hari terbaik untuk mulakan amalan ialah subuh hari Ahad.

Wallahu'alam.


Ziarah: Ziarah Orang Sakit

Kadang-kadang kita terima berita sama ada daripada keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai yang memaklumkan perkhabaran tentang seseorang jatuh sakit dan terlantar di hospital. Kita selaku insan kerdil hanya mampu mengucapkan ungkapan sabar dan menziarahi si pesakit.

Amalan menziarahi pesakit ini amatlah baik dan dituntut oleh Islam. Namun begitu, yang sedihnya ramai yang datang menziarahi pesakit tetapi tidak menunaikan tuntutan hak pesakit. Hak pesakit ialah mendapatkan doa daripada si penziarah.

Rata-rata kita lihat si penziarah akan bertanyakan hal ehwal tentang penyakit pesakit. Bila kena, macam mana berlaku, doktor kata apa. Tapi, amat jarang yang mendekati pesakit dan memberi kata-kata rangsangan serta berdoa.

Boleh katakan hampir setiap katil orang Islam terdapat surah Yasin di sisi pesakit. Tetapi, buku surah Yasin sekadar menjadi hiasan. Tiada yang mahu capai dan bacakan kepada si pesakit. Kalau ada pun, hanya segelintir sahaja. Yang lagi menyedihkan, darah daging sendiri pun tidak mahu atau malas untuk membacakannya.

Apabila kita menziarahi pesakit, maka berilah bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung olehnya. Antara ikhtiar yang boleh kita lakukan ialah ambil surah Yasin dan bacakan kepada si pesakit. Pegang kepala atau ubun-ubun pesakit dan bacakan surah Yasin di telinganya. Insya Allah, kita akan dapat melihat tindak balas dan reaksi pesakit. Semoga Allah menyembuhkan dan meringankan beban si pesakit dengan berkat bacaan surah Yasin yang kita bacakan. Amin ya rabbal alamin.

Thursday, 8 November 2012

Serangan: Semua Orang Terdedah

Walau siapa pun anda, anda pasti terdedah pada serangan jin dan ahli sihir lebih-lebih lagi jika anda seorang perawat Islam. Sayugia, diberi perhatian jika terdapat tanda-tanda serangan dan membuat benteng diri dengan segera apabila tanda-tanda serangan dikenalpasti. Serangan boleh datang sama ada dalam keadaan kita sedar atau tidak sama ada kita bersedia atau tidak.

Oleh itu, pastikan diri, keluarga dan kediaman sentiasa dibenteng dengan amalan yang secukupnya bagi menghalang serangan yang dilakukan tersebut berjaya.

p/s: Mendapat alamat serangan dalam mimpi termasuk yang cuba menceroboh kediaman. Gelas minuman juga pernah pecah sewaktu ingin minum.

Pertahanan: Kit Keselamatan Di Rumah

Kebelakangan ini kita sering mendengar pelbagai kisah serangan / gangguan jin dan sihir terhadap manusia. Terdapat gangguan bermotif dan tidak kurang juga gangguan tidak bermotif. Walaupun dunia semakin moden dengan arus pembangunan yang bertali arus, namun sama ada sedar atau tidak masih ada lagi antara kita yang masih mendapatkan khidmat daripada jin dan tukang sihir.

Serangan daripada jin mahupun tukang sihir tidak mengenal siapa. Semua orang terdedah pada serangan termasuk perawat itu sendiri. Maka, seharusnya perawat dan ahli keluarga mereka selalu berwaspada dan bersedia pada setiap masa pada serangan mengejut dan tidak diingini.

Oleh yang demikian, disarankan agar kita sentiasa menyimpan kit keselamatan sama ada di rumah atau dibawa bersama-sama ke mana-mana. Seperti mana kita diajar untuk menyediakan kit keselamatan ubat-ubatan atau kit keselamatan kebakakaran untuk memberi perlindungan lapisan pertama, maka dalam rawatan Islam juga kita seharusnya memiliki kit keselamatan tersebut.

Antara kandungan kit keselamatan yang boleh disediakan ialah:

1. Air minuman yang telah didoakan
2. Air mandian yang telah didoakan
3. Minyak wangi yang telah didoakan
4. Limau purut / limau nipis yang telah didoakan
5. Garam kasar yang telah didoakan
6. Lada hitam yang telah didoakan

Barang tersebut hendaklah sentiasa ada supaya mudah bagi kita untuk membuat pertahanan asas sekiranya terdapat gangguan sebelum pergi berjumpa atau menerima rawatan daripada mana-mana perawat Islam.

p/s: Kami menawarkan khidmat bagi menyediakan kit keselamatan di atas. Barangan hendaklah disediakan oleh anda. Emelkan kepada fiqrullah786@gmail.com. Tiada caj dikenakan. Sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke tabung yang disediakan.

Tuesday, 6 November 2012

Amalan: Jazamkan Amalan

Dalam setiap amalan yang dilakukan perlu pada istiqamah dan jazamkan amalan tersebut. Jazamkan amalan bermaksud menjadikan amalan tersebut sebati dalam diri kita. Bila dah sebati, maka mudah dan ringan untuk kita amalkan.

Kita biasa terdengar atau berjumpa orang yang berjalan, lalu tersepak batu. Dengar dan perhatikan apa yang terkeluar dari mulut si pelaku. Perkataan yang terkeluar itu ialah perkataan yang telah jazam @ sebati dalam diri si pelaku. Jika perkataan yang baik seperti zikrullah yang terkeluar, maka Alhamdulillah. Jika perkataan sebaliknya yang keluar, seperti mencarut dan memaki hamun, maka harus waspada.

Mengapa? Kejutan yang sedikit pun sudah melatah sebegitu, bagaimana jika datangnya kejutan yang besar yakni maut. Semoga kita dipelihara sepanjang masa oleh Allah hingga saat menghembuskan nafas yang terakhir. Amin ya rabbal alamin.

Ziarah: Ziarah Guru

Alhamdulillah, kesempatan bercuti Aidil Adha tempoh hari sempat digunakan untuk menziarahi guru dan berbincang sambil mendalami ilmu perubatan Islam yang dipelajari. Ilmu yang ada harus diamal dan dipraktik sambil dipantau oleh guru. Istilah perubatan moden. 'housemanship'.

Dalam perubatan Islam tidak wujud istilah 'housemanship'. Tetapi, bagi memantapkan amalan, inisiatif ini perlu ada sebelum pelatih benar-benar bersedia untuk berjuang.