Thursday 31 October 2013

Pembersihan Luaran & Dalaman

Dalam perubatan & rawatan Islam, disarankan bagi pesakit untuk membuat pembersihan secara menyeluruh yakni dari luaran dan dalaman. Turutan kebiasaan yang digunakan:

1. Ruqyah pesakit

Tujuan untuk mengeluarkan semua jenis gangguan dari badan pesakit. Pada masa ini, pesakit kadang-kadang tidak sedar.

2. Mandian

Tujuan untuk mengembalikan kesegaran pada badan pesakit. Biasanya pesakit akan mengalami sakit-sakit bisa pada badan setelah selesai proses rawatan. Maka, mandian amat digalakkan bagi mengembalikan kesegaran tubuh badan selain membersihkan kesan-kesan semasa rawatan.

3. Memagar premis

Setelah selesai rawatan pada pesakit, perawat akan menumpukan untuk memagar premis agar menjadi benteng untuk mengelakkan sebarang anasir atau pencerobohan. Biasanya pesakit akan terdedah pada serangan sekali lagi sejurus selepas selesai rawatan. Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga premis kediaman pesakit akan dibersihkan dan dipagar.

4. Benteng pertahanan diri

Pesakit akan dibekalkan dengan zikir / amalan harian bagi tujuan benteng dan pertahanan diri bagi mengelak serangan dan gangguan seterusnya.

Wednesday 30 October 2013

Mengapa Gangguan Tidak Selesai

Saya ada terbaca blog yang menceritakan tentang pesakit yang mengalami gangguan yang telah berjumpa dengan ramai perawat tetapi tidak sembuh. Sembuh sekejap, gangguan datang semula.

Perlu diketahui dan yakin bahawa gangguan yang berlaku itu adalah dengan izin Allah s.w.t jua. Penyembuhan juga pada izin Allah s.w.t jua yang Maha Menyembuhkan. Perawat hanya boleh berusaha, ikhtiar dan doa. Selebihnya, terserah pada Allah s.w.t.

Jin juga adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t seperti manusia. Ada berbilang bangsa, pangkat, taraf dan sebagainya. Kadang-kadang pesakit merasa pelik kenapa ada jin yang kuat yang mampu membaca al-quran, tidak berkesan dengan bacaan ruqyah dan sebagainya.

Sesungguhnya, jin juga mempunyai tahap kekuatan yang tersendiri. Jin terdiri dari golongan Islam dan bukan Islam. Ada yang kebal, ada yang lemah. Untuk bertarung dengan jin yang kuat dan tahap tinggi, si perawat juga perlu memiliki ilmu & amalan yang tinggi untuk menarik rahmat Allah s.w.t. Perawat perlu menjaga niat dan iktikad yang betul, insya Allah gangguan yang kuat sekalipun dapat diselesaikan dengan izin Allah s.w.t.

Monday 28 October 2013

Gangguan Berulang

Mungkin antara kita pernah mengalami kes yang sama berulang kali. Walaupun telah banyka kali rawatan dilakukan dan ramai perawat yang telah ditemui, namun penyakit sama masih berkunjung tiba dan tidak berkurangan. Malah kadang-kala menjadi lebih teruk.

Harus difahami bahawa, perkara utama ialah perawat perlu mengenal pasti jenis dan punca kes yang dialami. Jika sekadar gangguan biasa seperti histeria, insya Allah pesakit mudah sembuh. Tetapi jika kes berkaitan sihir dan saka, perlu rawatan berulang-ulang dan susulan. 

Adalah amat penting untuk pesakit hanya mendapatkan rawatan daripada seorang perawat sahaja pada suatu masa agar tidak berlaku kecelaruan. Memang kita faham bahawa tiada orang yang sanggup derita lama. Semuanya berharap agar cepat sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala. Sebaik-baiknya, seseorang pesakit itu tidak mendapatkan rawatan daripada beberapa perawat dalam suatu masa kerana dibimbangi terdapat kesan sampingan sama seperti kita mengambil ubat moden tanpa mengikut peraturan dan sukatan.

Kes sihir biasanya pesakit akan mengalami permasalahan yang sama berulang-ulang kali kerana tukang sihir akan menghantar dan menambah sihir yang baru jika seseorang pesakit itu didapati berjumpa dengan mana-mana perawat. Tukang sihir sekadar menurut perintah dan melakukan kerja mereka seperti mana yang dikehendaki oleh si pengupah kerana bayaran telah diterima. Selagi mana ada habuan, selagi itu kerja sihir dilakukan.

Bagi kes saka, isu yang timbul ialah dek kerana perjanjian orang terdahulu dan 'mereka' tiada tempat untuk dituju. Sebab itu, kes saka juga mungkin memerlukan rawatan ulangan dan susulan dari semasa ke semasa bagi memastikan gangguan dan saka benar-benar telah pergi dan tidak kembali lagi.

Oleh itu, dinasihatkan agar kita sentiasa berusaha dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah s.w.t. Percaya dan yakinlah bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya apabila kita kembali yakin dan memohon pertolongan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Tidak berlaku sesuatu gangguan itu tanpa keizinan daripada Allah s.w.t. begitu juga tidak akan sembuh & pulih sesuatu penyakit tanpa keizinan Allah s.w.t. jua.

Teruskan berdoa memohon kesembuhan dan perlindungan daripada Allah s.w.t.

Wednesday 23 October 2013

Jenis Saka

Apakah itu saka?

Saka ialah satu gelaran atau panggilan yang dikenali di Malaysia bagi jin yang berdamping dan diperturunkan secara turun temurun kepada ahli keluarga. Saka hanyalah istilah panggilan untuk mudah kenal. Saka boleh dapat dengan pelbagai cara sama ada diwarisi (pusaka) atau cari sendiri (pendamping)

Jenis-jenis saka

Pengalaman sepanjang saya mengubat beberapa pesakit, antara jenis saka yang pernah dijumpai seperti:

1. Saka harimau - bengis dan garang. Semasa merasuk, mengaum seperti harimau

2. Saka ular - Semasa merasuk boleh menjalar

3. Saka pawang / bomoh - Semasa merasuk seolah menurun dan membaca mentera

4. Saka bidan / tukang urut - Semasa merasuk seperti menyambut bayi

5. Saka pendekar - Mampu bangun berlawan dan bersilat tanpa disedari

6. Saka puteri - Perwatakan lemah lembut dan ayu. Muka tegang dan cantik.

7. Saka makyong - Boleh menari & menyanyi makyong

Ini antara jenis saka yang pernah saya jumpa. Si pesakit sendiri tidak tahu atau sedar yang mereka memiliki saka sehinggalah mereka merasakan badan tidak selesa. Apabila dilakukan rawatan, maka saka-saka ini keluar untuk melindungi si pesakit. Alhamdulillah, dengan bantuan dan pertolongan dari Allah s.w.t, maka pesakit telah beransur-ansur pulih.

Dari Allah penyakit itu datang, maka kepada Allah kita berdoa untuk dihindari penyakit tersebut.

Tuesday 22 October 2013

Pecahan Tahap Gangguan

Bagi tujuan untuk memudahkan pemahaman, tahap gangguan boleh dikategorikan dalam tiga (3) pecahan:-

Tahap Rendah

Ini ialah tahap permulaan sesuatu gangguan. Pada tahap ini, sesuatu gangguan itu boleh dibuang dengan mudah. Contoh gangguan ialah seperti histeria, sampuk dan sebagainya. Kebiasaannya, gangguan ini disebabkan oleh jin yang tidak bertuan yang menduduki sesuatu tempat. Gangguan ini mudah dikesan kerana pesakit akan menunjukkan simptom diganggu. Pesakit menjerit secara tiba-tiba atau menangis tanpa sebab.

Tahap Sederhana

Sesuatu gangguan yang datang pada tahap awal, jika tidak dicegah akan menuju ke tahap ini. Pada tahap ini, jin akan mula menjadi tubuh pesakit sebagai kediaman tempat tinggal. Proses penerokaan tanah dan membuka perkampungan. Mencari tapak yang sesuai untuk menetap.

Setengah-setengah gangguan tidak melalui tahap rendah, terus ke tahap sederhana. Ini mungkin disebabkan oleh gangguan jin sihir atau jin pendamping. Pesakit pada tahap ini kurang memberi reaksi seperti gangguan tahap rendah. Kadang-kadang gangguan tersebut tidak dapat dikesan. Pesakit mungkin akan merasakan kelainan pada diri seperti mengalami sakit-sakit fizikal, malas dan sebagainya.

Terdapat jin yang mampu untuk berselindung disebalik penyakit fizikal. Pesakit menganggap sakit yang dialami ialah gangguan fizikal tetapi penyakit tersebut tidak kebah dengan pengambilan ubat-ubatan biasa dan tidak dapat dikesan oleh pakar perubatan moden.

Gangguan tahap ini memerlukan lebih masa untuk dipulihkan.

Tahap Tinggi

Gangguan tahap ini sering disebut sebagai saka. Ini boleh disebabkan oleh jin sihir atau jin pendamping yang telah lama tinggal dalam badan pesakit selain jin saka yang diwarisi. Pada tahap ini, jin telah mula beranak-pinak dan mempunyai banyak puak yang menghuni badan pesakit. Jin juga telah memahami segala pergerakan pesakit dan mengenali individu di sekitar beliau.

Gangguan tahap ini paling sukar dikesan dan dipulihkan dan memerlukan rawatan berulang-ulang. Gangguan telah mula menjadi sebati dengan pesakit sehingga amat sukar untuk dibezakan. Semasa sesi rawatan juga, jin telah boleh mengambil alih diri pesakit untuk menipu perawat dan ahli keluarga.

Kesimpulan

Oleh itu, dinasihatkan kepada pesakit untuk menghubungi perawat dengan segera jika mengalami sebarang simptom gangguan agar dapat dicegah diperingkat awal sebelum terlambat.

Monday 21 October 2013

Gangguan Saka & Sihir

Ada beberapa kes yang diterima kebelakangan ini melibatkan gangguan saka & sihir. Bagi pesakit yang mengalami kedua-dua jenis gangguan, kita perlu buang satu per satu gangguan yang ada.

Pertama, kita perlu putus / batalkan sihir yang dialami. Kedua, barulah dibuang gangguan saka. Gangguan saka adalah yang berat dan susah untuk dibuang. Mengambil masa yang lama memandang saka tersebut dah menghuni terlalu lama. Pesakit perlu bersabar dan tekun berusaha serta berdoa semoga disembuhkan Allah s.w.t.

p/s: Semasa cuti Aidiladha tempoh hari buat rawatan susulan untuk pesakit yang mengalami gangguan saka. Masih ada kesan-kesan tinggalan yang perlu dibersihkan. Ada seorang pesakit baru, ada gangguan saka dan sihir. Dalam proses pembersihan. Mudah-mudahan semuanya akan disembuhkan Allah s.w.t hendaknya.